Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin
Showing posts with label puru. Show all posts
Showing posts with label puru. Show all posts

Aug 5, 2008

Mengenali Penyakit Kambing

Memiliki ternakan kambing yang sihat dan cergas bukan sahaja menjadi impian semua penternak malahan setiap pelanggan akan turut sama untuk memilih kambing yang sihat untuk dibeli samada untuk dijadikan santapan keluarga terutamanya apabila kenduri kendara, aqiqah, korban dan untuk dijadikan baka.

Oleh yang demikian, mengenali penyakit kambing adalah mustahak bagi setiap usahawan ternak agar ianya dapat menghindari penyakit-penyakit tersebut daripada menimpa kambing mereka.


1. Cirit-birit (Diarrhoea)

Cirit birit adalah disebabkan oleh beberapa perkara antaranya seperti faktor pengurusan di mana ternakan mengambil makanan yang tidak sesuai. Peralatan kandang dan lain-lain peralatan yang tidak bersih. Ternakan minum air yang tidak bersih atau tercemar. Faktor jangkitan parasit seperti masalah bebanan cacing dan kuman atau tersalah makan. Faktor bahan kimia juga membawa kepada masalah ini contohnya pada kes-kes keracunan. Faktor penyakit seperti serangan bakteria, virus dan protozoa (coccidiosis). Kambing yang menghidapinya akan mengalami sakit pada abdomen, mengeluarkan tahi cair dan berbau busuk, pangkal ekor kotor dan basah, monyok, tiada selera makan dan suka mengasingkan diri. Ianya juga boleh menyebabkan kematian.

Kaedah Rawatan :-
  • Berikan rawatan seperti ubat berak dan ubat cacing iaitu antidiarea, antibiotik, anthelmintik, coccidiostat.
  • Jaga kebersihan kandang untuk mengelak jangkitan
  • Periksa pemakanan, ubahsuai jenisnya jika perlu
  • Amalkan sistem ragutan bergilir


2. Penyakit Puru (Contagious ecthyma)

Penyakit ini disebabkan oleh virus. Ianya amat mudah menyerang pada anak kambing. Apabila anak kambing dijangkiti penyakit ini, ianya akan menjadi kurus dan lemah. Kadang-kala akan menyebabkan ternakan mengalami kesukaran untuk makan. Terdapatnya gelembung berair pada bahagian kulit lembut, mulut dan gusi serta bibir. Gelembung ini mungkin juga ada pada kaki terutama di celah jari. kambing muda sangat mudah dijangkiti, lama kelamaan kambing menjadi kurus dan lemah kerana susah makan dan bergerak

Kaedah Rawatan :-

  • Bersih & ubat luka kesan daripada gelembung pecah dengan iodin/gentian violet/krim akriflavin.
  • Sapu Krim Mepyramine pada gelembung.
  • Suntikan pelali semasa 3-4 minggu dan sekali lagi setelaj 3-4 bulan selepas suntikan pertama.
  • Asingkan kambing yang sudah dijangkiti.
  • Rawatan gelembung yang sudah pecah menggunakan ubat seperti tetravet atau iodin.

3. Kembung (Tyumpang)

Kambing mudah mengalami kembung terutama apabila makan terlalu banyak makanan kekacang. Di antara tanda-tanda kembung ialah meleleh air liur, perut buncit dan keras, berdentum bila berkentut, gelisah, selalu mengembek dan sering buang air kecil.

Kembung terjadi diakibatkan oleh gas yang dikeluarkan semasa proses penghadaman makanan tersebut, menyebabkan gas tersebut memenuhi ruang perut serta rongga pernafasan. Ini menyebabkan kambing mengalami sesak nafas kerana rongga pernafasan tersumbat.

Penyebab Kembung :-
  • Tersilap makan (makan dedaun yang beracun atau mengandungi bahan nitrogen yang tinggi seperti jinis kekacang),
  • Terlalu banyak makan PKC,
  • Gangguan fizikal (sekatan di bahagian leher ),
  • Pertukaran jenis makanan yang terlalu mendadak.
Tanda-Tanda Klinikal :-
  • Pembesaran perut di sebelah kiri, dan bila diketuk berbunyi seperti gendang.
  • Ternakan resah dan menunjukkan tanda sakit di bahagian perut.
  • Tidak mahu makan.
  • Terbaring dan kesakitan.
  • Kadar pernafasan yang tinggi, sesak nafas dan kematian.
Kaedah Rawatan :-
  • Stomach tubing.
  • Berikan ubat penahan kembung (ante-bloat) terus ke dalam perut(rumen).
  • Tebuk perut (bagi kes yang serius) dengan menggunakan alat Trocha and cannulla.
  • Uruskan bahan makanan dengan betul.
Apa itu 'stomach tubing' ? :-
  • 'Stomach tubing' adalah kaedah mengeluarkan angin dari dalam perut kambing yang mengalami kembung dengan menggunakan salur tiub getah.
  • Masukkan salur tiub berukuran kira-kira 0.5cm atau lebih besar sedikit ke dalam mulut kambing, dan tolakkan perlahan-lahan ke dalam rongga saluran pemakanan sehingga sampai ke perut rumen.
  • InsyaAllah angin yang tersangkut di dalam perut akan dapat keluar melaui tiub tersebut dan kambing anda akan pulih dari penyakit kembing.
  • Nota: Anda boleh menggunakan salur tiub jernih yang biasa digunakan oleh tukang rumah untuk menyukat ketinggian, ia boleh didapati dengan mudah di mana-mana kedai 'hardware'.

4. Radang Paru-Paru (Pneumonia)

Ia merupakan penyakit biasa ternakan kambing.
Penyakit ini berpunca daripada amalan pengurusan ternakan yang tidak baik. Penyebab utama penyakit ini adalah virus, bakteria, parasit dan bahan kimia. Batuk basah adalah tanda awal. Kambing kelihatan monyok, lemah, pernafasan cepat, batuk berlendir dan keluar hingus. Keadaan menjadi tenat jika kurang pengudaraan, kesejukan, basah atau keadaan sesak.

Antara faktor-faktor penyebab adalah:-
  • Stress / tegasan cuaca (sejuk).
  • Pemakanan tidakbermutu.
  • Bebanan cacing.
  • Peredaran udara dalam kandang yang tidak baik.
  • Kandang terlalu padat - memudahkan kambing mendapat pneumonia.
Tanda-tanda klinikal yang dapat dilihat adalah seperti :-
  • Pernafasan cepat / sesak nafas.
  • Suhu tinggi / demam.
  • Bunyi pernafasan tidak normal.
  • Batuk, bersin, cecair dari hidung.
  • Lemah, kurus, tiada selera makan.
Kaedah Rawatan :-
  • Gunakan antibiotik spektrum luas
  • Asingkan di tempat yang lebih selesa dan tenteram untuk elakkan stress.
  • Kandang hendaklah bersih, kering dan cukup pengudaraan (ventilasi).
  • Elakkan daripada terkena hujan dan keadaan lembab.
  • Beri suntikan antibiotik serta vitamin.
  • Anak baru lahir hendaklah dapat cukup kolustrum (susu awal).
Pencegahan :-
  • Berikan suntikan pelalian (vaccination) bagi ternakan yang berusia 1 bulan ke atas.
  • Induk bunting yang diberi suntikan pelalian dapat membantu anak mendapat antibodi terhadap pneumonia.

5. Penyakit-penyakit lain

Diantara penyakit lain yang boleh menyebabkan kambing tidak sihat adalah kurap, kurang darah, kancing gigi, kecederaan fizikal, kudis, kutu dan buruk kuku. Keadaan ini menyebabkan kambing tidak cergas, seterusnya kurang selera makan dan menjadi kurus. Amalkan kebersihan kandang, pemakanan yang sempurna dan jadual pencegahan penyakit yang teratur dapat mengurangkan serangan penyakit.

Selain daripada itu terdapat juga rawatan secara tradisional yang telah diguna-pakai sejak dahulu oleh masyarakat kita sebelum kedatangan ubatan moden ini.


(Topik di atas dipetik dari blog ini. Kredit kepada penulis asal topik ini. Bagaimanapun beberapa tambahan telah dibuat ke atas artikel asal untuk memberi penerangan yang lebih jelas kepada pembaca. Tambahan dibuat berdasarkan pengalaman sendiri dalam penternakan kambing)

Aug 4, 2008

Ubat-ubatan Asas Bagi Penjagaan Kambing

Senarai Ubat-ubatan Asas Yang Perlu

1. Antibiotik - Ubat selsema, murung dsb
Contoh: Teramycin LA

Antibiotik merupakan ubat asas bagi penyakit berkaitan selsema dan apabila kambing anda menunjukkan simptom dihinggapi penyakit seperti kurang cergas, kurang selera makan, murung dsb.

Antara jenis antibiotik yang popular adalah Terramycin/LA.

2. Iodin - Ubat luka

Iodin merupakan ubat luka, sesuai bagi bagi luka-luka biasa sahaja. Walau bagaimanapun, ia tidak efektif untuk luka-luka berulat. Disapu atau disembur terus pada bahagian anggota yang luka.

3. Prosanex - Ubat Untuk Luka Berulat

Prosanex merupakan ubat luka yang sangat efektif, terutama untuk mengubat luka berulat. Ia adalah semburan aerosol berwarna biru dan sangat mudah digunakan. Keluarkan dan bersihkan dahulu sebarang ulat yang ada di dalam luka ternakan anda. kemudian disembur terus ke tempat luka. Elakkan semburan dari terkena mata, hidung dan mulut ternakan.





4. Tetravet
- Ubat Puru

Tetravet merupakan semburan berwarna ungu, ubat yang efektif untuk merawat 'puru' yang menyerang mulut ternakan.


5. Cidectin (Pour-On) - Ubat parasit 3-serangkai( cacing/kutu/kurap)

Ubat 3 serangkai jenis sapuan (pour-on) bagi merawat kecacingan, kutu dan kurap pada ternakan. Hanya perlu dilumurkan di atas kulit, iaitu disapu di celah-celah bulu ternakan. Tidak perlu suntikan, ia merupakan alternatif kepada ubat jenis suntikan.


6. SulphaDimidine - ubat coccidiosis (sejenis protozoa)

Ubat untuk coccidiosis, sejenis protozoa yang boleh menyebabkan ternakan kambing sering mengalami ceret beret dan akhirnya menjadi kurus kering. Sulphadimidine adalah ubat cecair oral iaitu diberi minum terus ke dalam mulut haiwan. Ubat ini perlu diberi secara berulang untuk tempoh 1 -2 minggu.


7. Scourban Plus - Ubat ceret beret

Ia adalah sejenis ubat dalam bentuk cecair 'emulsion' dan diberi secara oral.