umum mengetahui bahawa kambing feral jantan sangat popular untuk dijadikan sembelihan bagi tujuan akikah. Setiap bulan, ratusan dan kekadang ribuan ekor kambing feral diimport dari Australia dan dijual kepada para penternak di negara kita. Harga borong yang ditawarkan pengimport sangat menarik iaitu di antara RM400-RM450 (harga ex-KLIA). Dengan berat badan di antara 30-50kg, feral jantan menawarkan kandungan daging yang banyak dengan harga yang sangat berpatutan dan ia sangat sesuai untuk dijadikan kambing akikah.
Walau bagaimana pun, penternak dihantui oleh risiko kematian yang tinggi. Kadar kematian dalam tempoh sebulan pertama ketibaan kambing feral ini boleh melebihi 10 peratus. Antara gejala penyakit yang sering dialami adalah ceret beret, kurang makan, murung dan seterusnya kematian. Ada juga kambing feral yang mengalami kematian mengejut, walaupun beberapa jam sebelumnya ia kelihatan sihat dan makan dengan normal.
Kami cuba menyelidik tentang punca kematian mengejut kambing feral ini, dan mendapati bahawa sebahagian dari kambing feral ini mati akibat kecederaan dalaman. Ini kerana kambing feral merupakan kambing liar yang hidup secara bebas di negara asal mereka, iaitu Australia. Mereka diburu, ditangkap dan diangkut ke 'paddock' di ladang pengeksport, kemudiannya dimasukkan ke dalam 'crate' lalu diangkut dengan trak ke lapangan terbang, seterusnya diterbangkan ke negara kita Malaysia.
Dalam tempoh di atas, kambing-kambing ini bertindak ganas, bergaduh dan menanduk satu sama lain, menyebabkan sebahagian mereka mengalami luka pada organ dalaman. Ada yang mengalami kerosakan pada organ dalaman seperti paru-paru, limpa, hati dsb, walaupun luarannya kelihatan sihat. Pendek kata, kambing feral yang tercedera ini hanya menunggu ajal.
Berikut adalah gambar-gambar hasil bedah siasat yang kami lakukan pada seekor kambing feral jantan yang mengalami kematian mengejut. Kambing ini mati kira-kira 1 jam selepas kelihatan makan tengah hari dengan normal.
Jelas sekali warna organ-organ sudah bertukar kebiruan serta terdapat kesan-kesan luka dan kecederaan. Di samping akibat serangan 'pasteurellosis', ini mungkin juga disebabkan oleh kesan 'pergaduhan sesama kaum' kambing feral.
Ini pula paru-paru yang dikeluarkan dari seekor kambing feral yang sihat, yang baru disembelih. Walaupun kelihatan sihat, kelihatan tompok-tompok darah membeku pada paru-paru ini akibat serangan pasteurellosis. Walau bagaimanapun di tahap ini, kambing feral ini masih berpeluang untuk kembali pulih.
No comments:
Post a Comment