Saya kategorikan penternak kambing kepada 2, iaitu:
1. Penternak sambilan
2. Penternak komersil
Penternak Sambilan
Sekiranya anda hanya bercadang untuk membela antara 20-30 ekor kambing sahaja, anda dikira penternak sambilan. Penternakan sambilan hanya berbaloi ('viable') sekiranya anda tinggal di kampung dan mempunyai tanah sendiri untuk binaan kandang, yang berhampiran dengan tempat tinggal anda. Anda juga harus memastikan yang anda boleh mendapatkan sumber makanan kambing di persekitaran kandang anda dengan percuma dan mampu menguruskan dengan sendiri atau bantuan saudara/kawan-kawan tanpa perlu membayar upah yang tetap (iaitu tiada sebarang komitmen 'overhead'). Kewujudan padang ragut di persekitaran kandang anda akan dapat membantu menjimatkan masa dan tenaga anda mendapatkan bekalan makanan (rumput, daun-daun dll). Di samping itu, ternakan anda dapat memakan pelbagai jenis tumbuhan yang berlainan.
Terdapat banyak sumber makanan kambing di kampung yang sememangnya tumbuh secara semulajadi atau meliar seperti rumput ragut, pokok petai belalang dan pokok balik angin. Sekiranya anda tinggal di kawasan ladang sawit, maka anda bertuah kerana daun sawit sangat disukai oleh kambing dan mempunyai khasiat yang tinggi.
Pokok petai belalang yang biasa tumbuh secara liar mempunyai khasiat tinggi dan menjadi makanan kegemaran kambing
Pokok balik angin juga biasanya tumbuh meliar, daunnya juga berkhasiat dan digemari oleh kambing
Bagi penternak sambilan, adalah dinasihatkan supaya membela baka kambing yang bermutu tinggi seperti Boer gred F4 ke atas atau Jamnapari Peranakan Ettawa dengan menggunakan pejantan tulen (Fullblood). Baka berkualiti tinggi dapat memberi hasil pulangan yang baik kerana anak-anak dapat dijual dengan harga yang tinggi. Sebagai contoh, anak kambing Jamnapari atau Boer tulen berusia 3-4 bulan dapat dijual dengan harga antara RM500 - RM600 seekor, manakala anak kacukan bergred rendah mungkin hanya bernlai sekitar RM200 seekor. Sekiranya anda tidak mempunyai kuantiti, and harus mempunyai kualiti, barulah projek penternakan anda menjadi berbaloi.
Penternak komersil
Sekiranya anda bercadang untuk memulakan penternakan kambing secara komersil, anda semestinya memerlukan tanah yang luas. Ingat! Projek penternakan kambing anda akan hanya 'viable' sekiranya anda berjaya mengurangkan kos pemakanan. Rumput merupakan makanan utama kambing, dan anda harus mempunyai sumber rumput Napier di kawasan berdekatan yang mencukupi. Ingat!!!! Kurangkan kebergantungan kepada palet sebagai sumber makanan kambing anda kerana kosnya yang tinggi, dan harganya pula semakin hari semakin melambung.
Kami cadangkan keluasan tanah sekurang-kurangya 3 ekar, tetapi keluasan yang 'ideal' adalah sekurang-kurangnya 10 ekar. 1 ekar digunakan untuk binaan kandang, rumah pekerja, stor dsb. 3-4 ekar diperlukan untuk padang ragut. Selebihnya digunakan untuk menanam rumput Napier bagi tujuan dipotong. Sekiranya anda bercadang untuk membuat penternakan komersil berskala besar, dengan bilangan induk ribuan ekor, anda harus mendapatkan tanah dengan keluasan melebihi 30 ekar.
Langkah terawal yang perlu dilakukan, sebelum membina kandang dan membeli baka kambing, adalah menanam rumput Napier Taiwan. Sekiranya tanah sesuai, dengan baja dan tahap kelembapan secukupnya, benih yang baru ditanam akan mengambil masa antara 2-3 bulan untuk tumbuh dan membesar secukupnya sebelum boleh dipotong. Pembajaan dan pengairan adalah sangat mustahak bagi membolehkan rumput tumbuh dengan subur dan membesar dengan pantas.
Setelah itu, anda perlu memastikan padang ragut ditumbuhi pelbagai jenis rumput dan tumbuhan yang sesuai seperti rumput 'guinea', dsb.
Rumput Napier Taiwan yang benihnya dijual dengan harga RM80 seguni seberat kira-kira 20kg.
Cara menanam benih rumput Napier
Bahagian tanah untuk menanam rumput Napier hendaklah dipersiapkan terlebih dahulu dengan dibuat batas-batas dan tanahnya digembur, dilembabkan serta dibajakan.
Tanah dipersiapkan dengan batas-batas serta digemburkan untuk ditanam dengan rumput Naiper
Benih rumput Napier Taiwan diambil dari batang rumput yang telah matang, berusia melebihi 4 bulan di mana batangnya sudah keras. Batang ini dipotong sepanjang kira-kira 6 inci setiap satu, dan dibiarkan dalam keadaan lembab sehingga akarnya mula tumbuh. Setelah itu batang yang telah berakar tadi ditanam secara mendatar di dalam tanah.
Pastikan tanah sentiasa lembab di awal proses pertumbuhan, dan dibajakan secukupnya.
Teknik menanam benih rumput Napier Taiwan
AWAS!!! Terdapat pelbagai spesis rumput Napier di negara kita yang kelihatan hampir serupa. Sebahagiannya tumbuh secara liar di tepi sungai dan di tepi jalanan. Spesis Napier Taiwan merupakan yang terbaik bagi ternakan ruminan kerana kandungan protin yang tinggi. Di samping itu batangnya lembut dan tidak berbulu/bersisik, memudahkan kambing memakannya tanpa mengakibatkan mulut kambing mengalami gatal-gatal, tercedera atau luka.
6 comments:
salam sejahtera ,
solan saya
berapakah modal anggaran awal untuk memelihara kambing secara sambilan di tanah sendiri (harga kambing jantan bdan betina dari baka yg baik )?
zainorah
Wsalam..
Anggaran harga borong:
Kambing Pejantan:
i) Boer Fullblood 1 tahun ke atas RM2,800 - RM3,300
ii) Boer F3/F4 berumur 1 tahun ke atas kira-kira RM1,500 - RM1,800.
Kambing induk:
i) Koplo (12-15) bulan ke atas RM600-RM700
ii) Boer f1 (8-12 bulan) RM750-RM800
iii) Boer F3/F4 (8-12 bln) RM1,000 - RM1,400
salam bang.
Saya ni orang baru dalam industri ni. Sekarang betul2 nak menceburi bidang pernternakan secara seriuslah. Sebab kalau sikit2 pasal kambing tu saya tau lah lebih kurang. Sebab saya dibesarkan pun dengan kambing2 masa kat kampung. Tapi itu kambing kampunglah. jenis katjang kot. Itu semua orang tua saya yang jaga sekarang.
Sekarang ni pun ada dalam 50-60 ekor kambing. Dah ada kandang semua dah. Tapi memang cara kampunglah. Jadi sekarang saya nak minta pandangan abang, apa yg perlu saya buat dulu?sebab saya memang minat dgn baka kambing boer ni. Dah lama dah dok tgk blog2 penternak ni.
Kalau baka boer boleh kacuk dgn kambing kampung ke?atau ada masalah nanti?Saya memang nak masuk kursus yang abang buat 15-16 tuh. Tapi tarikh tu saya tak dapat datang. Sebab abang saya kahwin.
Wsalam Herman,
bagus la kalau Man ada minat menternak kambing, meneruskan tradisi keluarga. Sebenarnya kambing katjang ni ada istimewanya iaitu ia tahan lasak dalam persekitaran negara kita ni, boleh dibela secara separa intensif (malam dikurung, siang dilepas bebas). Tetapi sebaik-baiknya tanamlah rumput Napier Taiwan sebagai makanan harian kerana khasiatnya tinggi, boleh mempercepatkan pertumbuhan kambing.
Kambing katjang induk juga boleh dikahwinkan dengan Pejantan Boer untuk menghasilkan anak Boer kacukan. Walau bagaimana pun, induk katjang haruslah cukup besar. Jika Pejantan Boer Fullblood digunakan, pastikan induk katjang itu beratnya melebihi 25kg, supaya anak yang bakal dihasilkan tidak mempunyai masaalah untuk dilahirkan. Maklumlah...Boer ni bakanya bersaiz besar, tentu lah anak yang bakal lahir juga besar.
Wallahua'alam...
salam bang,
Terima kasih atas penerangan dan nasihat abang ni. Jadi maknanya sekarang saya perlu tanam rumput Napier Taiwan dulu lah kan?Abang ada jual ke bang?sebab saya memang ada kat KL. Ada kat Desa Pandan. Tapi projek tu nak buat kat Kelantan. Insyaallah kalau saya ada masa dan abang pun ada masa free sikit, saya nak gi tengoklah kambing2 dengan cara penternakan abang tu nanti.
Lepas tu kalau abang cakap boleh kacuk kambing katjang dengan Penjantan Fullblood ni, saya kena beli lah 1 ekor dulu Penjantan tu kan?Sebab kalo ikutkan induk yang ada sekarang ni, rasa2 memang purata berat lebih 20kg ke atas dah. Dan ada byk ekor jugak lah.
Tapi pekara pertama saya kena tanam rumput tu dulu. Insyaallah balik kampung masa abang saya kawen ni, saya cuba bersihkan kawasan tu dulu. Sebab tanah pun adalah sikit space lagi untuk tanam rumput tu.
Salam Man,
elok la tu....yang pentingnya persediaan kena rapi. Benih Napier kami memang ada jual.Harganya RM4 per kg atau RM80 untuk satu guni berisi 20kg benih.
Pejantan Boer FB berharga dalam RM2,800 hingga RM3,300. Kalau Pejantan Boer F4 pun OK juga..harganya murah sikit laaa...dalam RM1,500 je.
Kelantan tu di mana? Saya asal dari KB, tapi skrg menetap di KL.
Semoga berjaya...
Post a Comment