Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Jul 18, 2008

Tips Membeli Kambing Baka

Salam semua pengunjung...

Memandangkan kadar pengeluaran kambing baka di negara kita masih di tahap yang rendah, negara masih mengimport kambing baka dalam kuantiti yang banyak. Dari segi pasaran pula, kambing baka import dijual dengan harga yang lebih rendah berbanding baka kelahiran tempatan. Namun begitu, pembeli harus sedar bahawa kambing import yang baru tiba di negara kita sebenarnya berdepan dengan risiko kematian yang tinggi. Ini disebabkan oleh gejala 'stress' yang dialami oleh kambing import setelah melalui perjalanan yang jauh, serta bertukar iklim dan tempat tinggal. Begitu juga dengan pemakanan yang berubah berbanding di tempat asal mereka.

Harus difahami bahawa walaupun kambing yang diimport dari Australia dibawa masuk melalui penerbangan udara, ternakan tersebut sebenarnya juga mengalami 'stress'. Ini kerana ternakan yang pada asalnya diternak secara lepas bebas tanpa sebarang kurungan, telah ditangkap dan dikurung di dalam 'paddock' beberapa lama sebelum dieksport. Perjalanan dari ladang (pusat pengumpulan) ke lapangan terbang yang menggunakan lori juga mengambil masa berhari-hari kerana jarak yang jauh. Faktor-faktor ini menyebabkan ternakan mengalami gejala 'stress'.

Kambing import memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, lebih-lebih lagi sekiranya ia berasal dari negara yang berlainan iklim seperti Australia. Tempoh penyesuaian sebenarnya bergantung kepada beberapa faktor iaitu:
1. Iklim dan kaedah pembelaan di negara asal.
2. Pengurusan dan kebersihan kandang di negara kita
3. Pemakanan (makanan, minuman, vitamin, 'supplement', dll)
4. Rawatan dan penjagaan

Tempoh penyesuaian ('climatisation') mengambil masa antara 2 hingga 6 bulan bergantung kepada faktor-faktor di atas.


Tips memilih baka kambing 'import'

Tidak dinafikan bahawa adalah sukar untuk mendapat bekalan kambing baka baik dari anak kelahiran tempatan, lebih-lebih lagi harga pasarannya pula mahal. Pilihan yang lebih sesuai adalah membeli baka kambing 'import' yang sihat iaitu yang telah stabil dan pulih dari 'stress' serta telah mengalami penyesuaian dengan persekitaran tempatan. Elakkan dari membeli kambing yang baru tiba di negara kita walaupun harganya murah. Adalah menjadi amalan pengimport untuk cuba menghabiskan stok yang baru tiba secepat mungkin dengan menjual pada harga yang murah, supaya mereka tidak perlu menanggung risiko kematian kambing tersebut. Pembeli juga harus memerhatikan dan menilai kaedah pengurusan dan kebersihan kandang di tempat penjualan kambing.

Ciri-ciri kambing yang sihat dan telah pulih dari 'stress' adalah seperti berikut:
1. Sentiasa berada dalam kumpulan, tidak menyendiri
2. Tidak terlalu kurus dan sentiasa berselera untuk makan
3. Tidak murung, termenung dan suka menyendiri
4. Mulai jinak, tidak keterlaluan berlari-lari ketakutan kepada manusia
5. Bulu badan bersih, licin dan berkilauan

1 comment:

Zikri said...

nak tambah skit... bila kambing sampai di kandang baru seelok2nya lepaskan ia di kawasan yg terkawal dan sediakan air+antistress secukupnya untuk 2-3 hari. (selepas beberapa jam hari pertama bg la makan) risiko utk mati berkurangan mendadak.