Pasaran utama kambing adalah untuk daging. Memandangkan Boer merupakan baka kambing pedaging yang terbaik, maka penternakan Boer kini menjadi kegemaran majoriti penternak kerana potensi pasarannya adalah besar.
Walau bagaimanapun buat masa ini, kebanyakan kambing Boer induk adalah diimport masuk dari luar negara terutamanya Australia. Oleh kerana perjalanan yang sangat jauh, kambing Boer yang tiba akan mengalami kepenatan atau gejala 'stress' yang menyebabkan kurangnya selera makan dan kemurungan. Gejala 'stress' ini amat ketara pada Boer betina dan ia mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih. Ini ditambah pula dengan faktor iklim negara kita yang berbeza dari negara asal, menyebabkan kaedah pemeliharaan juga harus berbeza. Di Australia kambing diternak secara lepas bebas, kerana iklimnya yang panas kering di samping tanahnya yang luas. Di Malaysia pula kambing terpaksa diternak secara fidlot di dalam kandang kerana faktor hujan dan kadar kelembapan yang tinggi.
Risiko kematian induk Boer import adalah sangat tinggi dalam tempoh 'stress' ini. Memandangkan harga untuk induk Boer import adalah sangat tinggi, penternak mungkin memerlukan masa bertahun-tahun untuk mendapatkan kembali pulangan hasil dari pelaburan mereka.
Objektif
Objektif pakej ini adalah untuk menggalakkan penternak menghasilkan sendiri anak Boer kacukan F1 tempatan dengan menggunakan induk dari baka selain Boer yang berharga lebih murah. Langkah ini dapat mengurangkan kos kerana penternak sememangnya memerlukan bilangan induk yang banyak bagi menjayakan program pembakaan, seterusnya memastikan kejayaan projek penternakan mereka. Adalah dianggarkan, penternak memerlukan sekurang-kurangnya 300 ekor induk untuk menjadikan sesuatu projek penternakan kambing mereka berdaya maju.
Untuk Pejantan, penternak yang berkemampuan digalakkan supaya menggunakan Boer Tulen (Fullblood) demi menghasilkan anak kacukan Boer F1 yang bermutu. Biasanya Pejantan Boer agak lasak dan dapat pulih dari gejala 'stress' dalam tempoh yang singkat. Ia juga cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di negara kita.
Induk Koplo
Baka Koplo merupakan baka kacukan yang banyak didapati di Indonesia. Ia dihasilkan dari kacukan pejantan jamnapari dan induk kampung Indonesia. Induk dari baka koplo ini merupakan pilihan utama dalam program pembakaan Boer yang kami cadangkan. Di samping harganya yang berpatuan, induk koplo agak lasak dan sememangnya sesuai dengan iklim negara kita kerana baka ini berasal dari Indonesia, iaitu negara yang iklimnya sama dengan iklim tempatan kita. Kaedah penternakan kambing di Indonesia juga sama dengan di negara kita di mana kambing dibela secara fidlot di dalam kandang.
Pejantan Boer FB (dgn sijil) berusia lebih 2 tahun dan seberat kira-kira 80kg.
Contoh anak Boer F1 yang kami hasilkan di ladang AsSakinah Agro Farm menggunakan induk Koplo dan Pejantan Boer FB
Sebagai alternatif, Feral betina (dari Australia) boleh juga digunakan sebagai induk dalam program pembakaan Boer. Sebagaimana Koplo, kos induk Feral juga adalah rendah. Kebaikannya berbanding Koplo adalah baka Feral berbentuk badan yang lebih gemuk. Ia juga berbadan lebih rendah, memudahkan pejantan Boer memanjat semasa proses mengawan memandangkan pejantan Boer juga berbadan rendah . Walau bagaimana pun, risiko kematian adalah lebih tinggi bagi Feral yang baru tiba ke negara kita memandangkan ia berasal dari Australia, negara yang mempunyai iklim berbeza dengan negara kita.
No comments:
Post a Comment