Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Jul 15, 2008

Pemilihan Baka Kambing Dan 'Business Model"

Penternakan Baka Tulen Untuk Skala Kecil

Penternakan adalah suatu perniagaan. Jadi adalah penting untuk menentukan model perniagaan ("business model") anda dalam memulakan sesuatu projek penternakan kambing. Sekiranya anda memilih untuk memelihara kambing dalam kuantiti yang sedikit (misalnya kurang dari 100 ekor), produk anda haruslah bernilai tinggi, iaitu ladang anda harus mengeluarkan produk yang berkualiti dan bersifat "niche". Ini bermakna anda harus memilih baka yang betul-betul tulen ("Fullblood).

Dalam konteks Malaysia, baka Boer, Saanen, Jamnapari dan Anglo-Nubian tulen dapat meraih harga pasaran yang tinggi, terutamanya pejantan. Anak berusia kira-kira 6 bulan dapat dijual dengan harga RM1ribu ke atas, manakala yang berusia 1 tahun dapat dijual dengan harga RM2 ribu ke atas. Ini berbanding dengan harga baka kacukan yang hanya dijual dengan harga kira-kira RM600 bagi yang berusia 6 bulan, manakala yang berusia 1 tahun pula dapat mencapai harga RM1ribu.


Pejantan Saanen yang masih muda, berusia kira-kira 12 bulan


Induk Saanen merupakan pengeluar susu yang terbaik


Di negara khatulistiwa seperti Malaysia, penternakan kambing sewajibnya dilakukan di dalam kandang, memandangkan keadaan cuaca yang kadang-kadang panas dan kadang-kadang hujan. Kambing seharusnya dielakkan dari merayau dan meragut di tanah yang lembab kerana ini akan mendedahkan kepada risiko penyakit kurap dan jangkitan cacing. Memandangkan kos pembinaan kandang dan kos buruh ladang yang tinggi, adalah tidak bijak untuk memelihara kambing kacukan dalam kuantiti yang sedikit. Oleh itu, adalah dilihat lebih menguntungkan sekiranya anda memelihara baka yang tulen, walaupun hanya sekitar 50 ekor.

Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa baka tulen adalah produk terhad ("niche"), dan pasarannya adalah pasaran untuk pembakaan semata-mata. Anda mungkin mengalami masaalah pemasaran jika menternak baka tulen dalam kuantiti yang besar, melainkan jika anda bersedia menjual dengan harga yang rendah. Walau bagamanapun, jika anda memilih baka tulen kambing tenusu seperti saanen, anda boleh juga memasarkan produk tenusu anda selain dari menjual kambing untuk baka.


Penternakan Berskala Besar

Sekiranya anda memang bercadang untuk memelihara kambing dalam kuantiti yang besar, misalnya dengan mempunyai 300 ekor atau lebih induk betina, anda harus memilih baka kambing pedaging, kerana daging merupakan produk kambing yang mempunyai pasaran terbesar. Baka kambing pedaging terbaik adalah baka Boer. Ia berangka besar dan beratnya boleh mencapai lebih 100 kilogram, serta mempunyai nisbah daging yang tinggi berbanding tulang.


Pejantan Boer tulen (Fullblood)


Sekiranya and membeli baka induk Boer tulen tentunya memakan belanja yang terlalu besar. Anda seharusnya memilih induk dari baka kacukan yang mempunyai rangka badan yang besar, yang mana beratnya boleh mencapai lebih 25kg. Induk kacukan seperti ini boleh dikahwinkan dengan Pejantan Boer tulen, dan biasanya akan menghasilkan anak boer kacukan yang berkualiti, dengan peratus genetik Boer yang tinggi.

Antara baka kacukan yang sesuai di kahwinkan dengan pejantan Boer adalah baka kambing kampung kacukan, baka koplo dll. Kambing kampung kacukan yang senang diperolehi di dalam pasaran kini adalah hasil kacukan antara induk kampung dan pejantan Anglo-Nubian. Koplo pula merupakan anak kacukan pejantan jamnapari dan induk kampung, biasanya diimport dari Indonesia. Harga pasaran bagi induk kacukan sebegini adalah di antara RM500 hingga Rm700, bagi yang berusia di antara 8-12 bulan.





Kambing induk kampung kacukan (generasi awalnya dihasilkan dari kacukan antara induk kambing kampung iaitu kambing katjang dengan pejantan Anglo-Nubian)




Kambing induk Koplo yang dihasilkan dari kacukan antara induk kambing kampung dan pejantan jamnapari.

No comments: