Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Oct 16, 2009

PARASIT TERNAKAN KAMBING

Kemaskini 20 Nov 2009
PARASIT TERNAKAN KAMBING


Mengenali Parasit

Parasit merupakan antara musuh utama ternakan kambing. Kehadiran parasit menyebabkan ternakan mengalami gangguan terhadap sistem pemakanan dan penghadaman makanan (seperti hilang selera makan dan mengalami ceret beret). Sesetengah parasit yang hidup dengan menghisap darah ternakan pula akan mengganggu dan melemahkan fungsi organ dalaman ternakan (akibat gangguan terhadap bekalan darah dan oksigen). Secara umumnya, kehadiran parasit akan melemahkan sistem imuniti ternakan terhadap serangan penyakit, mengakibatkan ternakan menjadi lemah dan gagal respons terhadap sebarang rawatan yang diberikan, dan akhirnya boleh membawa maut.

Parasit boleh dibahagikan kepada 2 jenis berdasarkan kehadirannya pada ternakan:
1. Parasit luaran – kutu dan fungi (penyebab kurap)
2. Parasit dalaman – pelbagai jenis cacing, coccidia, dll.

Parasit luaran - kutu dan fungi
Kutu dan fungi merupakan parasit yang menginap pada kulit ternakan, kutu hidup dengan menghisap darah ternakan tersebut.
Kehadiran kutu dapat dilihat dari keadaan luaran ternakan iaitu:
1. kulit menggelupas
2. ternakan kambing akan tergaru-garu menyebabkan bulu kelihatan tidak kemas, tanggal dan menjadi tipis.

Kesan-kesan serangan fungi pula menyebabkan kurap iaitu kulit berkuping-kuping, mengeras dan merekah. Kurap boleh membawa maut jika tidak dirawat, terutama jika terkena pada bahagian muka, iaitu di sekeliling mata dan mulut, sehingga mengganggu pergerakan dan pemakanan.
Ubat-ubatan: ivermectin, cidectin, dectomax, dll


Parasit dalaman

1. Coccidia

Coccidia merupakan sejenis protozoa (organisma bersel tunggal) yang menghuni perut ternakan kambing. Dalam keadaan biasa, coccidia tidak memberi ancaman kepada ternakan, bahkan coccidia memang hadir dalam perut hampir kesemua kambing. Coccidia memberi ancaman kepada kambing apabila kambing mengalami 'stress' akibat perubahan cuaca, pertukaran tempat atau persekitaran, atau apabila kambing memakan dedaun dan makanan yang tidak biasa dimakannya. Ia menyebabkan kambing mengalami ceret beret yang akut, menjadi lemah dan seterusnya membawa maut.


Bagaimana mengelakkan serangan cocccidia?


Untuk mengelakkan coccidiosis (serangan coccidia), elakkan daripada mengubah amalan pemakanan ternakan secara mendadak. Ternakan kambing alah kepada pertukaran mendadak jenis palet dan dedaun. Jika pertukaran perlu dibuat, palet atau dedaun yang baru harus diberi dalam kuantiti yang kecil dan ditambah secara berdikit-dikit. Elakkan dedaun/rumput yang mengandungi terlalu banyak air.


Berhati-hati dengan kambing yang baru tiba dari kawasan luar, terutama yang diimport dari luar negara. Pemakanannya pada peringkat awal tiba harus dijaga di mana kambing ini harus dielakkan dari makanan basah. Biasakan kambing ini dengan memakan palet dan dedaun kering atau rumput kering secara berdikit-dikit sahaja. Elakkan palet dan dedaun yang mengandungi kandungan protin yang tinggi di peringkat awal kerana kambing ini masih berada dalam keadaan 'stress'.


Juga amalkan memberi cecair anti-coccidiosis di dalam minuman ternakan secara berkala, misalnya sekali dalam sebulan. Cecair anti-coccidiosis merupakan campuran berasaskan sulfur dan lain-lain bahan. Antaranya adalah campuran ‘sulphaquinoxaline sodium dan sodium salicylate serta pyrimethamine’.

Lain-lain cecair anti-coccidiosis yang boleh digunakan adalah seperti sulphadiminidine, dll.

(Nota: kandang yang dilengkapi dengan sistem paip minuman menggunakan 'nipple drinker' adalah sangat sesuai untuk amalan ini, di mana cecair anti-coccidisis boleh dimasukkan ke dalam tangki minuman secara berkala (misalnya sekali sebulan).


2. Cacing
Cacing parasit yang hadir dalam badan ternakan memudaratkan 'host'nya dengan 2 cara:
1. menyerap aliran protin dalam perut/usus
2. menghisap darah

Cacing yang menyerap protin memudaratkan ternakan host dalam jangka panjang. Host akan beransur-ansur menjadi kurus akibat kekurangan protin, semakin lemah hari demi hari, mengalami anemia (kekurangan darah merah), dan akhirnya mati jika tidak dirawat. Kambing yang menghadapi masaalah parasit sebegini biasanya dapat dikesan berdasarkan keadaan fizikalnya iaitu kurus kering, kurang bertenaga, serta gusi dan kelopak mata menjadi pucat.

Manakala cacing yang menghisap darah adalah sangat merbahaya kerana boleh membawa kematian dalam jangkamasa yang singkat, misalnya kurang dari 24 jam. Kematian mengejut berlaku apabila telur cacing yang berada di dalam badan host berkembang dan bertukar menjadi sekumpulan cacing dewasa yang menghisap darah dengan banyak secara serentak, lalu menyebabkan kambing kehilangan darah secara mengejut ('bleeding'). Serangan sebegini gagal dikesan oleh penternak kerana kambing tidak sempat menunjukkan gejala kecacingan seperti kes di atas.


Jenis-jenis cacing
a. Cacing perut (Stomach worms) :
Merupakan jenis cacing yang selalu hadir dalam perut kambing iaitu:
1. Barbers pole worm (Haemonchus contortus)
2. Black scour worm (Trichostrongylus species)
3. Brown stomach worm (Ostertagia species)



b. Lain-lain jenis cacing:
Selain dari cacing biasa, terdapat juga cacing berikut yang agak jarang ditemui, tetapi boleh juga merupakan ancaman kepada kambing yang diternak di lokasi tertentu di negara kita umpamanya di kawasan yang terlalu lembab, iaitu:
1. Nodule worm (Oesophagostomum spp)
2. Small lung worm (Muellerius cappillaris)
3. Tape worm (Monezia species) / cacing pita
4. Liver fluke (Fasciola hepatica) / cacing hati
5. Stomach fluke (Paramphistomum species)
6. Thin necked intestinal worm (Nematodirus)

Cacing hati biasanya datang dari rumput yang dimakan oleh ternakan. Rumput Napier yang tumbuh di persekitaran yang lembab dan berair berkemungkinan akan ditumpangi oleh sejenis siput halus yang menjadi perumah bagi cacing hati (liver fluke). Cacing hati ini akan berpindah ke dalam ternakan kambing apabila kambing tersebut memakan rumput yang mengandungi telur cacing dan seterusnya cacing ini akan meneruskan hidupnya dan membiak di dalam organ hati ternakan yang dijangkiti itu.


Rawatan

Ubat-ubatan yang dicadangkan:
1. Ubat suntikan dari famili "Mectins" - ivermectin, dectomax, dll
2. Cidectin - cecair sapuan pada kulit ternakan
3. NILZAN Broadspetrum
4. CHAN Broadspectrum

Pencegahan
Sebagai langkah pencegahan, adalah dicadangkan supaya salah satu ubat-ubat di atas diberikan secara sekali gus kepada kesemua ternakan di kandang dan secara berkala, contohnya sekali setiap 3 bulan. Pemberian ubat harus tidak kurang dari dos yang ditetapkan. Pemberian secara 'underdose' boleh menyebabkan cacing membina daya ketahanan terhadap ubat yang diberikan.



(Nota: untuk keterangan lanjut, sila klik :
http://www.jomternakkambing-penyakit.blogspot.com/2009/10/parasit-ternakan-cacing.html)

Oct 15, 2009

KOLEKSI VIDEOKLIP : KENALI PENYAKIT KAMBING DAN POST MORTEM





















Sumber : Klip video dipetik dari youtube 'putraada' http://www.youtube.com/watch?v=vyZSg5KPHBI

Oct 14, 2009

SIRI VIDEOKLIP BAGI PANDUAN ASAS PENTERNAKAN KAMBING

Assalamu'alaikum pengunjung semua...
Saya temui di internet beberapa siri videoklip dari kursus penternakan kambing yang dijalankan oleh sebuah syarikat (bukan Assakinah Agro Farm). Kelihatan Dr.Noor Azam dari GloVet (bert-shirt orange dan berkaca mata) sedang memberi penerangan. Saya dapati videoklip ini amat berguna dan dapat dijadikan panduan bagi kita smeua, jadi saya masukkan di dalam blog ini untuk tatapan dan panduan bersama. Terimakasih kepada 'asnamza' yang telah 'upload' videoklip ini ke YouTube.

Videoklip Kaedah Merawat Kambing

Oct 13, 2009

VIDEOKLIP MODEL KANDANG KAMBING

Videoklip Model Kandang Kambing

Oct 10, 2009

BULETIN 10 OKT: LAWATAN KE KANDANG AWI DI BIDOR

Assalamu'alaikum pengunjung semua...
semalam 9 oktober 2009, saya berkesempatan melawat kandang seorang rakan penternak muda berusia kira-kira 31 tahun, En. Alwi (lebih mesra dipanggil Awi) di Kampung Melayu Bikam, Bidor, Perak. Kandang ini terletak kira-kira 1.5km dari jalan besar Bidor-Tk.Intan dan kedudukannya adalah di dalam ladang sawit yang luasnya beratus-ratus ekar.  Awi membela kambing baka kacukan kampung/anglo-nubian di ladang ini sejak 4 tahun lalu.

Menariknya tentang ladang kambing Awi ni adalah kerana kaedah pembelaannya, iaitu Awi membela kambing 'breeder'nya serta anak-anak yang jumlahnya kira-kira 150 ekor secara lepasbebas, tanpa memberi makan di kandang. Kambing-kambing ini langsung tidak diberi makan palet, dan dilepasbebas untuk makan rumput di dalam ladang sawit selama kira-kira 4-5 jam sehari, iaitu dari jam 12 tengah hari ke jam 4-5 petang.

Walau bagaimana pun, kambing-kambing jantan sembelihan tidak dilepas bersama untuk mengawal proses mengawan dan pembakaan. Kambing jantan sembelihan diberi makan sedikit palet kerana hanya dilepas bebas untuk makan di luar selama 2 jam sehari, iaitu selepas jam 4 petang hingga jam 6 petang.

Dengan kaedah lepasbebas begini, Awi tidak memerlukan tenaga pekerja yang ramai, di mana beliau hanya dibantu oleh sepasang suami isteri warga Indonesia yang bekerja secara sambilan dengan beliau. Beliau juga dapat mengurangkan kos palet. Saya mendapati kambing-kambing beliau kelihatan sihat dan bermutu, meskipun kurang menggunakan palet dan ubat-ubatan moden. Walau bagaimanapun Awi berpesan kepada saya agar selalu merawat kambing terhadap serangan cacing hati (fluke worm) dan cacing pita' (tape worm). Kedua-dua jenis cacing ini tidak berkesan dengan rawatan 'ivermectin' dan 'cidectin'.

Cacing hati biasanya disebarkan oleh siput--siput halus yang selalu hinggap untuk bertelur di celah-celah daun rumput Napier. Siput-siput halus ini pecah akibat penggunaan mesin chopper dan apabila kambing memakan rumput, ia akan memakan cacing hati sekali. Seterusnya cacing hati ini akan hidup di dalam perumah yang baru, iaitu organ hati kambing dengan menghisap darah. Serangan cacing hati boleh membawa maut jika tidak dirawat.



Gambar-gambar kambing baka kacukan kampung/anglo-nubian yang terdapat di kandang Awi di Kampung Melayu Bikam, Bidor, Perak.


Berdasarkan temubual saya dengan Awi, saya dapat membuat kesimpulan bahawa, dengan kaedah lepasbebas begini, projek penternakan Awi adalah 'viable' dan menguntungkan. Di saat ramai penternak di negara kita yang terpaksa menutup kandang dan gulung tikar kerana tidak dapat bertahan dengan kos yang tinggi, Awi nampaknya bersedia untuk mengembangkan lagi projek penternakan kambing beliau. Awi merancang untuk membesarkan kandang beliau dan menambah bilangan 'breeder' dalam tempoh terdekat ini. Kami doakan semoga Awi diberi hidayah dan kekuatan serta dipermudahkan jalan oleh Allah dan menjadi seorang penternak besar kelak....InsyaAllah.