Assalamu'alaikum pengunjung semua...
semalam 9 oktober 2009, saya berkesempatan melawat kandang seorang rakan penternak muda berusia kira-kira 31 tahun, En. Alwi (lebih mesra dipanggil Awi) di Kampung Melayu Bikam, Bidor, Perak. Kandang ini terletak kira-kira 1.5km dari jalan besar Bidor-Tk.Intan dan kedudukannya adalah di dalam ladang sawit yang luasnya beratus-ratus ekar. Awi membela kambing baka kacukan kampung/anglo-nubian di ladang ini sejak 4 tahun lalu.
Menariknya tentang ladang kambing Awi ni adalah kerana kaedah pembelaannya, iaitu Awi membela kambing 'breeder'nya serta anak-anak yang jumlahnya kira-kira 150 ekor secara lepasbebas, tanpa memberi makan di kandang. Kambing-kambing ini langsung tidak diberi makan palet, dan dilepasbebas untuk makan rumput di dalam ladang sawit selama kira-kira 4-5 jam sehari, iaitu dari jam 12 tengah hari ke jam 4-5 petang.
Walau bagaimana pun, kambing-kambing jantan sembelihan tidak dilepas bersama untuk mengawal proses mengawan dan pembakaan. Kambing jantan sembelihan diberi makan sedikit palet kerana hanya dilepas bebas untuk makan di luar selama 2 jam sehari, iaitu selepas jam 4 petang hingga jam 6 petang.
Dengan kaedah lepasbebas begini, Awi tidak memerlukan tenaga pekerja yang ramai, di mana beliau hanya dibantu oleh sepasang suami isteri warga Indonesia yang bekerja secara sambilan dengan beliau. Beliau juga dapat mengurangkan kos palet. Saya mendapati kambing-kambing beliau kelihatan sihat dan bermutu, meskipun kurang menggunakan palet dan ubat-ubatan moden. Walau bagaimanapun Awi berpesan kepada saya agar selalu merawat kambing terhadap serangan cacing hati (fluke worm) dan cacing pita' (tape worm). Kedua-dua jenis cacing ini tidak berkesan dengan rawatan 'ivermectin' dan 'cidectin'.
Cacing hati biasanya disebarkan oleh siput--siput halus yang selalu hinggap untuk bertelur di celah-celah daun rumput Napier. Siput-siput halus ini pecah akibat penggunaan mesin chopper dan apabila kambing memakan rumput, ia akan memakan cacing hati sekali. Seterusnya cacing hati ini akan hidup di dalam perumah yang baru, iaitu organ hati kambing dengan menghisap darah. Serangan cacing hati boleh membawa maut jika tidak dirawat.
Gambar-gambar kambing baka kacukan kampung/anglo-nubian yang terdapat di kandang Awi di Kampung Melayu Bikam, Bidor, Perak.
Berdasarkan temubual saya dengan Awi, saya dapat membuat kesimpulan bahawa, dengan kaedah lepasbebas begini, projek penternakan Awi adalah 'viable' dan menguntungkan. Di saat ramai penternak di negara kita yang terpaksa menutup kandang dan gulung tikar kerana tidak dapat bertahan dengan kos yang tinggi, Awi nampaknya bersedia untuk mengembangkan lagi projek penternakan kambing beliau. Awi merancang untuk membesarkan kandang beliau dan menambah bilangan 'breeder' dalam tempoh terdekat ini. Kami doakan semoga Awi diberi hidayah dan kekuatan serta dipermudahkan jalan oleh Allah dan menjadi seorang penternak besar kelak....InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment