Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Dec 30, 2010

Apa itu 'Feed Convertion Ratio' atau FCR?

Assalamualaikum wm wbkh pengunjung semua!


Secara ringkasnya 'Feed Conversion Ratio' atau FCR adalah merujuk kepada keupayaan haiwan untuk menukar berat makanan yang diambil kepada berat badannya. Ini diukur berdasarkan ukuran (dalam kg) berat kering makanan yang perlu diambil untuk menghasilkan 1 kg kenaikan berat badan haiwan tersebut di dalam tempoh tertentu. Haiwan yang mempunyai FCR yang rendah dikira sebagai haiwan yang efisien dari segi penggunaan makanan.

Faktor FCR adalah sangat penting di dalam industri ternakan kerana ia membawa impak ekonomi dan boleh menentukan kejayaan atau kegagalan industri ini. Haiwan ruminan jenis kambing, biri-biri dan lembu secara umumnya mempunyai FCR di antara 7 ke 10. Sebagai perbandingan, khinzir mempunyai FCR kurang dari 4.

FCR sesuatu jenis ternakan adalah merupakan faktor tabii,  contohnya khinzir mempunyai FCR kira-kira satu kali ganda lebih rendah berbanding ternakan ruminan, yang membawa maksud khinzir berupaya menambah berat badannya dua kali ganda berbanding ruminan bagi setiap kg makanan yang diambil. Efisiensi khinzir dalam menaikkan berat badan adalah dua kali ganda berbanding ternakan ruminan. Tidak hairanlah kenapa bangsa Cina yang bukan beragama Islam lebih suka menternak khinzir berbanding kambing atau lembu.

Secara terperincinya, FCR sesekor kambing adalah berbeza dengan kambing yang lain. Kambing yang sihat akan mempunyai FCR yang rendah, iaitu berupaya menukar semaksima mungkin makanan yang dimakan kepada berat badan. Selain faktor kesihatan, pengambilan 'supplement' juga boleh membantu merendahkan FCR, (iaitu menaikkan efisiensi) sekaligus  boleh membantu kenaikan berat badan ternakan.

Saya ada menjalankan eksperimen terhadap ternakan kambing saya dengan memberi sejenis 'Enzim' yang menggalakkan kenaikan berat badan dengan cara menurunkan FCR mereka. Ini saya lakukan pada awal oktober 2010, sebelum bertolak ke Tanah Suci, dan kesan positif dari segi kenaikan berat badan dapat dilihat  kira-kira 2 bulan kemudian setelah saya kembali ke tanah air.

Kumpulan induk boer. Dahulunya, sebahagian induk ini kurus, tetapi Alhamdulillah kini sudah sihat dan berisi

Kumpulan kambing dara kelahiran ladang kami. Alhamdulillah sihat dan gemuk-gemuk semuanya

Seekor kambing dara berusia kira-kira 6 bulan... sihat nampaknya, Alhamdulillah..


Untuk memastikan keberkesanan enzim ini, hari ini 30 Disember 2010, saya memulakan sekali lagi program pemberian enzim ini terhadap ternakan kambing saya. Enzim ini akan diberi secara berterusan selama sebulan dengan memasukkan ke dalam makanan ternakan. Saya sedang memantau dengan teliti kumpulan  kambing yang kurus yang telah saya asingkan di petak khas. Saya berharap, dengan izin Allah, agar dapat melihat perkembangan positif di dalam tempoh sebulan dari sekarang.


Kumpulan induk yang kurus, meskipun rawatan kecacingan teleh berkali-kali diberikan. Kumpulan induk ini juga cukup berselera makan, malangnya mereka tetap kurus
Induk kacukan yang paling kurus


Rujukan: http://en.wikipedia.org/wiki/Feed_conversion_ratio

Dec 28, 2010

Diet Baru Bagi Kambing Kami

Assalamualaikum wm wbkh!
Saya 'update' di sini perkembangan mengenai pertukaran diet kambing-kambing peliharaan saya.  Ahad lepas,  26 Disember, saya membuat lawatan singkat ke kandang saya untuk melihat dan memantau perkembangan kambing-kambing terutamanya setelah saya menukar diet mereka.
Kambing-kambing saya nampaknya sangat suka dengan diet terbaru iaitu hampas soya yang dicampur dengan beberapa bahan lain. Walau bagaimana pun, ia perlu dimasak sehingga cukup kering kerana jika lembab boleh menyebabkan kambing mengalami ceret beret, terutamanya jika diberi dalam kuantiti yang banyak . Sejak sehari dua ini, kami telah mula menambahkan pemberian hampas soya dari kira-kira seberat 30kg (berat lembab) pada minggu pertama ke kira-kira 45kg. Nampaknya kambing-kambing kami tidak mengalami ceret-berat, Alhamdulillah....
Serentak dengan pemberian hampas soya, kami telah mengurangkan pemberian palet dari 100kg sehari kepada 75kg sehari untuk populasi 160 ekor kambing termasuk anak-anak. Bermula esok, kuantiti ini akan dikurangkan lagi ke kira-kira 60kg. Saya bercadang untuk mengurangkan lagi ke 50kg sehari dalam tempoh 2 minggu lagi. Perancangan jangka panjang adalah untuk memberhentikan terus pemberian palet, tetapi ini bergantung pada pemantauan kami, iaitu samaada diet terbaru ini cukup baik untuk menggantikan palet.
Mengenai jerami padi pula, nampaknya kambing Boer tidak ada masaalah untuk memakannya, mungkin kerana sudah biasa makan rumput kering (hay) pada waktu musim sejuk di negara asal mereka, Australia dahulu. Manakala kambing kacukan jamnapari nampaknya kurang berselera pada peringkat awal, tetapi lama kelamaan dapat menyesuaikan diri dengan diet terbaru ini. Tujuan pemberian jerami adalah untuk diet fiber, yang dapat membantu penghadaman dan penyerapan makanan.  Kami masih memberikan rumput hijau dalam kuantiti biasa, tanpa mengurangkan sedikit pun buat masa ini.
Saya menganggarkan dapat menjimatkan sehingga RM1ribu setiap bulan sekiranya diet ini berkesan, kerana tidak perlu mengeluarkan belanja bagi membeli palet yang menelan belanja kira-kira RM2ribu sebulan.
Setakat ini keadaan kambing nampaknya amat memuaskan.... Alhamdulillah....

Dec 23, 2010

Lawatan Pemantauan

Assalamualaikum wm wbkh!
Semalam, Rabu 22hb Disember, saya sekali lagi berpeluang ke ladang kambing saya di Hulu Langat untuk menghantar bekalan petrol bagi kegunaan mesin chopper dan motosikal. Di samping itu, lawatan saya ini bertujuan untuk memantau keadaan kambing saya setelah saya mengubah pemakanan mereka. Dua hari lalu saya dimaklumkan oleh pekerja saya bahawa seekor induk mengalami sedikit ceret beret yang tidak kritikal, dipercayai kerana memakan terlalu banyak hampas soya. Walau bagaimanapun, nampaknya hari ini ia telah kembali normal dan dalam keadaan sihat walafiat.

Secara umumnya, keadaan kambing saya agak memuaskan berbanding dengan keadaan mereka kira-kira 2 bulan lepas. Perubahan keadaan mereka sangat ketara. Nampaknya Allah telah  memakbulkan doa saya selama ini yang tak jemu-jemu mengharapkan pertolonganNya agar perusahaan penternakan kambing saya ini menemui kejayaan. Sebelum ini saya agak buntu dan hampir putus asa apabila melihat keadaan kambing yang kurus dan terlalu mudah diserang penyakit, terutamanya ceret beret. Kadang-kadang ada yang mati secara mengejut walaupun sebelumnya kelihatan sihat.















Walau bagaimanapun, dari kira-kira 160 ekor populasi kambing tersebut, terdapat kira-kira 20 ekor yang masih sangat kurus, 5 darinya kurus agak kronik. Kambing-kambing ini diasingkan ke dalam petak khas untuk diberi rawatan intensif.

Induk kacukan ini adalah yang paling kurus, masih belum pulih walaupun sudah beberapa kali diberi ubat cacing. Yang anihnya, induk ini kuat makan

Kumpulan induk kurus yang diasingkan untuk diberi rawatan dan pemantauan khas

Kumpulan yang kurus kronik di atas - pandangan dari sudut lain

Kumpulan ini telah beransur pulih, walaupun masih kelihatan agak kurus. Juga diasingkan di petak khas untuk pemantauan berterusan



Saya bercadang untuk menggunakan sejenis "enzim" untuk meningkatkan "Feed Convertion Ratio" (FCR) bagi kambing-kambing ini dalam jangka masa terdekat ini. Ia bertujuan untuk meningkatkan berat badan mereka. Mudah-mudahan usaha saya ini akan berjaya.

SemogaAllah permudahkan urusan saya ini... aamiin...

Dec 20, 2010

Memulihkan Kembali Pengurusan Kandang

Assalamualaikum wm wbkh!
Sudah lama saya tidak mengisi blog ini dengan informasi teknikal berkaitan dengan penternakan kambing. Kesibukan menghadiri kursus bersiri ibadat haji pada setiap sabtu sejak awal tahun sehingga bulan Julai 2010, serta menghadiri program-program lain berkaitan ibadat haji membataskan masa saya untuk menguruskan ladang kambing. Waktu hujung minggu yang terluang pula perlu dihabiskan dirumah untuk menerima kunjungan tetamu/pelanggan showroom arowana. Keadaan kambing peliharaan pula nampaknya semakin merosot... banyak yang kelihatan semakin kurus.

Kami cuba memberikan ubat cacing yang biasa kami berikan secara berkala seperti "Cidectin Pour-on" dan NILZAN, tetapi kali ini ia tidak membuahkan hasil yang kami harapkan, tidak sebagaimana biasa. Saya fikir, cacing-cacing tersebut sudah mula mendapat imunisasi dari ubat-ubat ini. Cabaran kini adalah mencari ubat cacing baru yang belum pernah diberikan kepada kambing-kambing saya, jadi cacing-cacing yang ada di dalam badan mereka belum membina ketahanan diri terhadap ubat ini.

Pada Oktober lepas, beberapa minggu sebelum saya bertolak ke Tanah Suci, kami mencuba sejenis ubat cacing baru. Saya berharap setelah kembali dari menunaikan fardhu haji nanti, iaitu selepas sebulan setengah, saya akan dapat melihat hasilnya.

Pada Sabtu 11 December baru-baru ini, saya berpeluang membuat kunjungan pertama ke kandang setelah kembali dari menunaikan fardhu haji. Alhamdulillah.... sebagaimana yang saya harapkan, sebahagian besar kambing-kambing saya, terutama anak-anak, menunjukkan perubahan positif yang ketara.

Semangat untuk kembali memulihkan bisnes ladang kambing mula membara semula. Perusahaan yang selama ini memakan belanja bulanan yang agak tinggi, tetapi membuahkan hasil yang tak seberapa akibat kurangnya tumpuan, nampaknya masih ada harapan untuk dipulihkan.

Cabaran seterusnya bagi saya adalah untuk mengurangkan kos operasi. Saya mula mencari alternatif kepada palet yang memakan belanja terlalu besar setiap bulan. Bermula Selasa 14 Disember lepas, saya mula memberikan hampas soya, di samping mengurangkan pemberian palet.  Hampas soya ini terpaksa kami proses terlebih dahulu, dimasak untuk mengeringkan airnya supaya kambing tidak mengalami ceret beret, serta dicampurkan beberapa bahan lain.

Seterusnya Jumaat 17 Disember lepas, kami mula memberikan jerami padi. Ini adalah perancangan jangka panjang kami untuk mengurangkan pemberian rumput hijau, bertujuan mengurangkan kos. Meskipun rumput boleh didapati secara percuma di kawasan hulu langat ini, tetapi kos untuk mendapatkannya adalah agak tinggi kerana terpaksa menggunakan tenaga buruh tambahan serta kos petrol dan penyelenggaraan motosikal.

Saya berazam untuk membuat beberapa perubahan lagi dari semasa ke semasa agar perusahaan ladang kambing ini akhirnya memberikan pulangan yang berbaloi!!!

Semoga Allah mempermudahkan urusan ini, InsyaAllah...

Allahumma yassir li fil 'umuuri kullihaa wa ahsin 'aaqibatahaa.....
 Aamiin.............

Dec 17, 2010

Perubahan Nama Domain Untuk Blog Jom TernakKambing

Assalamualaikum wm wbkh!

Untuk makluman pengunjung semua, blog ini yang sebelum ini menggunakan nama domain JomTernakKambing.Com kini akan menggunakan domain blogspot.com.

Alamat blog ini kini adalah seperti berikut:

http://JomTernakKambing.blogspot.com

Harap maklum.
Sekian, terima kasih.

Assalamualaikum wm wbkh!