Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Dec 30, 2010

Apa itu 'Feed Convertion Ratio' atau FCR?

Assalamualaikum wm wbkh pengunjung semua!


Secara ringkasnya 'Feed Conversion Ratio' atau FCR adalah merujuk kepada keupayaan haiwan untuk menukar berat makanan yang diambil kepada berat badannya. Ini diukur berdasarkan ukuran (dalam kg) berat kering makanan yang perlu diambil untuk menghasilkan 1 kg kenaikan berat badan haiwan tersebut di dalam tempoh tertentu. Haiwan yang mempunyai FCR yang rendah dikira sebagai haiwan yang efisien dari segi penggunaan makanan.

Faktor FCR adalah sangat penting di dalam industri ternakan kerana ia membawa impak ekonomi dan boleh menentukan kejayaan atau kegagalan industri ini. Haiwan ruminan jenis kambing, biri-biri dan lembu secara umumnya mempunyai FCR di antara 7 ke 10. Sebagai perbandingan, khinzir mempunyai FCR kurang dari 4.

FCR sesuatu jenis ternakan adalah merupakan faktor tabii,  contohnya khinzir mempunyai FCR kira-kira satu kali ganda lebih rendah berbanding ternakan ruminan, yang membawa maksud khinzir berupaya menambah berat badannya dua kali ganda berbanding ruminan bagi setiap kg makanan yang diambil. Efisiensi khinzir dalam menaikkan berat badan adalah dua kali ganda berbanding ternakan ruminan. Tidak hairanlah kenapa bangsa Cina yang bukan beragama Islam lebih suka menternak khinzir berbanding kambing atau lembu.

Secara terperincinya, FCR sesekor kambing adalah berbeza dengan kambing yang lain. Kambing yang sihat akan mempunyai FCR yang rendah, iaitu berupaya menukar semaksima mungkin makanan yang dimakan kepada berat badan. Selain faktor kesihatan, pengambilan 'supplement' juga boleh membantu merendahkan FCR, (iaitu menaikkan efisiensi) sekaligus  boleh membantu kenaikan berat badan ternakan.

Saya ada menjalankan eksperimen terhadap ternakan kambing saya dengan memberi sejenis 'Enzim' yang menggalakkan kenaikan berat badan dengan cara menurunkan FCR mereka. Ini saya lakukan pada awal oktober 2010, sebelum bertolak ke Tanah Suci, dan kesan positif dari segi kenaikan berat badan dapat dilihat  kira-kira 2 bulan kemudian setelah saya kembali ke tanah air.

Kumpulan induk boer. Dahulunya, sebahagian induk ini kurus, tetapi Alhamdulillah kini sudah sihat dan berisi

Kumpulan kambing dara kelahiran ladang kami. Alhamdulillah sihat dan gemuk-gemuk semuanya

Seekor kambing dara berusia kira-kira 6 bulan... sihat nampaknya, Alhamdulillah..


Untuk memastikan keberkesanan enzim ini, hari ini 30 Disember 2010, saya memulakan sekali lagi program pemberian enzim ini terhadap ternakan kambing saya. Enzim ini akan diberi secara berterusan selama sebulan dengan memasukkan ke dalam makanan ternakan. Saya sedang memantau dengan teliti kumpulan  kambing yang kurus yang telah saya asingkan di petak khas. Saya berharap, dengan izin Allah, agar dapat melihat perkembangan positif di dalam tempoh sebulan dari sekarang.


Kumpulan induk yang kurus, meskipun rawatan kecacingan teleh berkali-kali diberikan. Kumpulan induk ini juga cukup berselera makan, malangnya mereka tetap kurus
Induk kacukan yang paling kurus


Rujukan: http://en.wikipedia.org/wiki/Feed_conversion_ratio

No comments: