Assalamualaikum wm wbkh!
Sudah lama saya tidak mengisi blog ini dengan informasi teknikal berkaitan dengan penternakan kambing. Kesibukan menghadiri kursus bersiri ibadat haji pada setiap sabtu sejak awal tahun sehingga bulan Julai 2010, serta menghadiri program-program lain berkaitan ibadat haji membataskan masa saya untuk menguruskan ladang kambing. Waktu hujung minggu yang terluang pula perlu dihabiskan dirumah untuk menerima kunjungan tetamu/pelanggan showroom arowana. Keadaan kambing peliharaan pula nampaknya semakin merosot... banyak yang kelihatan semakin kurus.
Kami cuba memberikan ubat cacing yang biasa kami berikan secara berkala seperti "Cidectin Pour-on" dan NILZAN, tetapi kali ini ia tidak membuahkan hasil yang kami harapkan, tidak sebagaimana biasa. Saya fikir, cacing-cacing tersebut sudah mula mendapat imunisasi dari ubat-ubat ini. Cabaran kini adalah mencari ubat cacing baru yang belum pernah diberikan kepada kambing-kambing saya, jadi cacing-cacing yang ada di dalam badan mereka belum membina ketahanan diri terhadap ubat ini.
Pada Oktober lepas, beberapa minggu sebelum saya bertolak ke Tanah Suci, kami mencuba sejenis ubat cacing baru. Saya berharap setelah kembali dari menunaikan fardhu haji nanti, iaitu selepas sebulan setengah, saya akan dapat melihat hasilnya.
Pada Sabtu 11 December baru-baru ini, saya berpeluang membuat kunjungan pertama ke kandang setelah kembali dari menunaikan fardhu haji. Alhamdulillah.... sebagaimana yang saya harapkan, sebahagian besar kambing-kambing saya, terutama anak-anak, menunjukkan perubahan positif yang ketara.
Semangat untuk kembali memulihkan bisnes ladang kambing mula membara semula. Perusahaan yang selama ini memakan belanja bulanan yang agak tinggi, tetapi membuahkan hasil yang tak seberapa akibat kurangnya tumpuan, nampaknya masih ada harapan untuk dipulihkan.
Cabaran seterusnya bagi saya adalah untuk mengurangkan kos operasi. Saya mula mencari alternatif kepada palet yang memakan belanja terlalu besar setiap bulan. Bermula Selasa 14 Disember lepas, saya mula memberikan hampas soya, di samping mengurangkan pemberian palet. Hampas soya ini terpaksa kami proses terlebih dahulu, dimasak untuk mengeringkan airnya supaya kambing tidak mengalami ceret beret, serta dicampurkan beberapa bahan lain.
Seterusnya Jumaat 17 Disember lepas, kami mula memberikan jerami padi. Ini adalah perancangan jangka panjang kami untuk mengurangkan pemberian rumput hijau, bertujuan mengurangkan kos. Meskipun rumput boleh didapati secara percuma di kawasan hulu langat ini, tetapi kos untuk mendapatkannya adalah agak tinggi kerana terpaksa menggunakan tenaga buruh tambahan serta kos petrol dan penyelenggaraan motosikal.
Saya berazam untuk membuat beberapa perubahan lagi dari semasa ke semasa agar perusahaan ladang kambing ini akhirnya memberikan pulangan yang berbaloi!!!
Semoga Allah mempermudahkan urusan ini, InsyaAllah...
Allahumma yassir li fil 'umuuri kullihaa wa ahsin 'aaqibatahaa.....
Aamiin.............
No comments:
Post a Comment