Assalamualaikum wm wbkh!
Saya 'update' di sini perkembangan mengenai pertukaran diet kambing-kambing peliharaan saya. Ahad lepas, 26 Disember, saya membuat lawatan singkat ke kandang saya untuk melihat dan memantau perkembangan kambing-kambing terutamanya setelah saya menukar diet mereka.
Kambing-kambing saya nampaknya sangat suka dengan diet terbaru iaitu hampas soya yang dicampur dengan beberapa bahan lain. Walau bagaimana pun, ia perlu dimasak sehingga cukup kering kerana jika lembab boleh menyebabkan kambing mengalami ceret beret, terutamanya jika diberi dalam kuantiti yang banyak . Sejak sehari dua ini, kami telah mula menambahkan pemberian hampas soya dari kira-kira seberat 30kg (berat lembab) pada minggu pertama ke kira-kira 45kg. Nampaknya kambing-kambing kami tidak mengalami ceret-berat, Alhamdulillah....
Serentak dengan pemberian hampas soya, kami telah mengurangkan pemberian palet dari 100kg sehari kepada 75kg sehari untuk populasi 160 ekor kambing termasuk anak-anak. Bermula esok, kuantiti ini akan dikurangkan lagi ke kira-kira 60kg. Saya bercadang untuk mengurangkan lagi ke 50kg sehari dalam tempoh 2 minggu lagi. Perancangan jangka panjang adalah untuk memberhentikan terus pemberian palet, tetapi ini bergantung pada pemantauan kami, iaitu samaada diet terbaru ini cukup baik untuk menggantikan palet.
Mengenai jerami padi pula, nampaknya kambing Boer tidak ada masaalah untuk memakannya, mungkin kerana sudah biasa makan rumput kering (hay) pada waktu musim sejuk di negara asal mereka, Australia dahulu. Manakala kambing kacukan jamnapari nampaknya kurang berselera pada peringkat awal, tetapi lama kelamaan dapat menyesuaikan diri dengan diet terbaru ini. Tujuan pemberian jerami adalah untuk diet fiber, yang dapat membantu penghadaman dan penyerapan makanan. Kami masih memberikan rumput hijau dalam kuantiti biasa, tanpa mengurangkan sedikit pun buat masa ini.
Saya menganggarkan dapat menjimatkan sehingga RM1ribu setiap bulan sekiranya diet ini berkesan, kerana tidak perlu mengeluarkan belanja bagi membeli palet yang menelan belanja kira-kira RM2ribu sebulan.
Setakat ini keadaan kambing nampaknya amat memuaskan.... Alhamdulillah....
No comments:
Post a Comment