Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Jan 27, 2011

Lapuran Diet Baru Dari AsSakinah Agro Farm

Assalamu'alaikum wm wbkh kpd semua pengunjung!
Semalam 26 Januari 2011 saya sekali lagi membuat pemantauan teliti ke atas kambing-kambing peliharaan saya untuk mengetahui kesan diet baru terhadap mereka.

Sebagaimana yang saya maklumkan sebelum ini, saya kini sedang di dalam proses mengurangkan pemberian konsentrat  (palet) dan menggantikan dengan hampas soya yang dicampur beberapa bahan lain seperti jagung hancur dan gandum (sumber karbohidrat), serta sedikit garam dan mineral. Saya juga mencampurkan sedikit urea sebagai sumber protin tambahan.

Kacang soya mempunyai kandungan protin yang tinggi iaitu kira-kira 20%. Walau bagaimanapun, tidaklah diketahui berapakah kandungan protin yang tinggal pada hampas soya, kerana saya belum menjumpai sebarang lapuran analisis yang dibuat ke atas kandungan nutrien hampas soya. Mungkin agak selamat kalau kita anggarkan bahawa hampas soya mengandungi kira-kira 5% protin.

Sebagai perbandingan, konsentrat mengandungi kira-kira 12% protin (pengeluar mendakwa bahawa kandungan protin adalah 16%). Jadi bagi setiap gram berat kering, hampas soya dianggarkan hanya menyumbangkan protin sebanyak 40% dari apa yang disumbangkan oleh konsentrat. Jadi, menggantikan konsentrat dengan soya dengan amaun berat yang sama tidak dapat memberikan sumber protin yang cukup kepada kambing, kecuali kalau berat kering hampas soya tersebut adalah kira-kira 2.5 kali ganda dari berat konsentrat yang biasa diberikan. Untuk makluman, setiap ekor kambing dewasa yang dibela secara fidlot memerlukan antara 500g ke 800g palet, bergantung kepada berat kambing tersebut. Walau bagaimana pun, amaun ini juga bergantung kepada kualiti palet yang diberikan terutamanya kandungan protin dalam palet tersebut. Kebiasaanya saya memberikan purata 650g konsentrat kepada kambing dewasa saya.

Sejak sebulan lalu, saya beransur-ansur mengurangkan pemberian konsentrat dari purata 650g kepada hanya 150g bagi seekor kambing. Campuran hampas soya yang diberikan adalah purata 400g bagi seekor kambing dewasa. Berdasarkan nisbah kandungan protin, sepatutnya pengurangan 500g palet ini harus diganti dengan 1.2kg soya. Ini bermakna diet kambing saya kini kekurangan protin berbanding dengan sebelum ini.

Pemantauan semalam mengesahkan hal ini. Berdasarkan pemerhatian, sebahagian kambing saya mula
menyusut dari segi berat badan. Saya terpaksa segera menambah semula pemberian konsentrat kepada 300g bagi setiap ekor kambing untuk mengelakkan keadaan ini berlanjutan. Serentak dengan itu, saya juga mulai menambah kuantiti hampas soya yang diberikan secara beransur-ansur.

Bersambung.....



No comments: