Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Jom Bersama Hamas & Rakyat Palestin

Dec 30, 2010

Apa itu 'Feed Convertion Ratio' atau FCR?

Assalamualaikum wm wbkh pengunjung semua!


Secara ringkasnya 'Feed Conversion Ratio' atau FCR adalah merujuk kepada keupayaan haiwan untuk menukar berat makanan yang diambil kepada berat badannya. Ini diukur berdasarkan ukuran (dalam kg) berat kering makanan yang perlu diambil untuk menghasilkan 1 kg kenaikan berat badan haiwan tersebut di dalam tempoh tertentu. Haiwan yang mempunyai FCR yang rendah dikira sebagai haiwan yang efisien dari segi penggunaan makanan.

Faktor FCR adalah sangat penting di dalam industri ternakan kerana ia membawa impak ekonomi dan boleh menentukan kejayaan atau kegagalan industri ini. Haiwan ruminan jenis kambing, biri-biri dan lembu secara umumnya mempunyai FCR di antara 7 ke 10. Sebagai perbandingan, khinzir mempunyai FCR kurang dari 4.

FCR sesuatu jenis ternakan adalah merupakan faktor tabii,  contohnya khinzir mempunyai FCR kira-kira satu kali ganda lebih rendah berbanding ternakan ruminan, yang membawa maksud khinzir berupaya menambah berat badannya dua kali ganda berbanding ruminan bagi setiap kg makanan yang diambil. Efisiensi khinzir dalam menaikkan berat badan adalah dua kali ganda berbanding ternakan ruminan. Tidak hairanlah kenapa bangsa Cina yang bukan beragama Islam lebih suka menternak khinzir berbanding kambing atau lembu.

Secara terperincinya, FCR sesekor kambing adalah berbeza dengan kambing yang lain. Kambing yang sihat akan mempunyai FCR yang rendah, iaitu berupaya menukar semaksima mungkin makanan yang dimakan kepada berat badan. Selain faktor kesihatan, pengambilan 'supplement' juga boleh membantu merendahkan FCR, (iaitu menaikkan efisiensi) sekaligus  boleh membantu kenaikan berat badan ternakan.

Saya ada menjalankan eksperimen terhadap ternakan kambing saya dengan memberi sejenis 'Enzim' yang menggalakkan kenaikan berat badan dengan cara menurunkan FCR mereka. Ini saya lakukan pada awal oktober 2010, sebelum bertolak ke Tanah Suci, dan kesan positif dari segi kenaikan berat badan dapat dilihat  kira-kira 2 bulan kemudian setelah saya kembali ke tanah air.

Kumpulan induk boer. Dahulunya, sebahagian induk ini kurus, tetapi Alhamdulillah kini sudah sihat dan berisi

Kumpulan kambing dara kelahiran ladang kami. Alhamdulillah sihat dan gemuk-gemuk semuanya

Seekor kambing dara berusia kira-kira 6 bulan... sihat nampaknya, Alhamdulillah..


Untuk memastikan keberkesanan enzim ini, hari ini 30 Disember 2010, saya memulakan sekali lagi program pemberian enzim ini terhadap ternakan kambing saya. Enzim ini akan diberi secara berterusan selama sebulan dengan memasukkan ke dalam makanan ternakan. Saya sedang memantau dengan teliti kumpulan  kambing yang kurus yang telah saya asingkan di petak khas. Saya berharap, dengan izin Allah, agar dapat melihat perkembangan positif di dalam tempoh sebulan dari sekarang.


Kumpulan induk yang kurus, meskipun rawatan kecacingan teleh berkali-kali diberikan. Kumpulan induk ini juga cukup berselera makan, malangnya mereka tetap kurus
Induk kacukan yang paling kurus


Rujukan: http://en.wikipedia.org/wiki/Feed_conversion_ratio

Dec 28, 2010

Diet Baru Bagi Kambing Kami

Assalamualaikum wm wbkh!
Saya 'update' di sini perkembangan mengenai pertukaran diet kambing-kambing peliharaan saya.  Ahad lepas,  26 Disember, saya membuat lawatan singkat ke kandang saya untuk melihat dan memantau perkembangan kambing-kambing terutamanya setelah saya menukar diet mereka.
Kambing-kambing saya nampaknya sangat suka dengan diet terbaru iaitu hampas soya yang dicampur dengan beberapa bahan lain. Walau bagaimana pun, ia perlu dimasak sehingga cukup kering kerana jika lembab boleh menyebabkan kambing mengalami ceret beret, terutamanya jika diberi dalam kuantiti yang banyak . Sejak sehari dua ini, kami telah mula menambahkan pemberian hampas soya dari kira-kira seberat 30kg (berat lembab) pada minggu pertama ke kira-kira 45kg. Nampaknya kambing-kambing kami tidak mengalami ceret-berat, Alhamdulillah....
Serentak dengan pemberian hampas soya, kami telah mengurangkan pemberian palet dari 100kg sehari kepada 75kg sehari untuk populasi 160 ekor kambing termasuk anak-anak. Bermula esok, kuantiti ini akan dikurangkan lagi ke kira-kira 60kg. Saya bercadang untuk mengurangkan lagi ke 50kg sehari dalam tempoh 2 minggu lagi. Perancangan jangka panjang adalah untuk memberhentikan terus pemberian palet, tetapi ini bergantung pada pemantauan kami, iaitu samaada diet terbaru ini cukup baik untuk menggantikan palet.
Mengenai jerami padi pula, nampaknya kambing Boer tidak ada masaalah untuk memakannya, mungkin kerana sudah biasa makan rumput kering (hay) pada waktu musim sejuk di negara asal mereka, Australia dahulu. Manakala kambing kacukan jamnapari nampaknya kurang berselera pada peringkat awal, tetapi lama kelamaan dapat menyesuaikan diri dengan diet terbaru ini. Tujuan pemberian jerami adalah untuk diet fiber, yang dapat membantu penghadaman dan penyerapan makanan.  Kami masih memberikan rumput hijau dalam kuantiti biasa, tanpa mengurangkan sedikit pun buat masa ini.
Saya menganggarkan dapat menjimatkan sehingga RM1ribu setiap bulan sekiranya diet ini berkesan, kerana tidak perlu mengeluarkan belanja bagi membeli palet yang menelan belanja kira-kira RM2ribu sebulan.
Setakat ini keadaan kambing nampaknya amat memuaskan.... Alhamdulillah....

Dec 23, 2010

Lawatan Pemantauan

Assalamualaikum wm wbkh!
Semalam, Rabu 22hb Disember, saya sekali lagi berpeluang ke ladang kambing saya di Hulu Langat untuk menghantar bekalan petrol bagi kegunaan mesin chopper dan motosikal. Di samping itu, lawatan saya ini bertujuan untuk memantau keadaan kambing saya setelah saya mengubah pemakanan mereka. Dua hari lalu saya dimaklumkan oleh pekerja saya bahawa seekor induk mengalami sedikit ceret beret yang tidak kritikal, dipercayai kerana memakan terlalu banyak hampas soya. Walau bagaimanapun, nampaknya hari ini ia telah kembali normal dan dalam keadaan sihat walafiat.

Secara umumnya, keadaan kambing saya agak memuaskan berbanding dengan keadaan mereka kira-kira 2 bulan lepas. Perubahan keadaan mereka sangat ketara. Nampaknya Allah telah  memakbulkan doa saya selama ini yang tak jemu-jemu mengharapkan pertolonganNya agar perusahaan penternakan kambing saya ini menemui kejayaan. Sebelum ini saya agak buntu dan hampir putus asa apabila melihat keadaan kambing yang kurus dan terlalu mudah diserang penyakit, terutamanya ceret beret. Kadang-kadang ada yang mati secara mengejut walaupun sebelumnya kelihatan sihat.















Walau bagaimanapun, dari kira-kira 160 ekor populasi kambing tersebut, terdapat kira-kira 20 ekor yang masih sangat kurus, 5 darinya kurus agak kronik. Kambing-kambing ini diasingkan ke dalam petak khas untuk diberi rawatan intensif.

Induk kacukan ini adalah yang paling kurus, masih belum pulih walaupun sudah beberapa kali diberi ubat cacing. Yang anihnya, induk ini kuat makan

Kumpulan induk kurus yang diasingkan untuk diberi rawatan dan pemantauan khas

Kumpulan yang kurus kronik di atas - pandangan dari sudut lain

Kumpulan ini telah beransur pulih, walaupun masih kelihatan agak kurus. Juga diasingkan di petak khas untuk pemantauan berterusan



Saya bercadang untuk menggunakan sejenis "enzim" untuk meningkatkan "Feed Convertion Ratio" (FCR) bagi kambing-kambing ini dalam jangka masa terdekat ini. Ia bertujuan untuk meningkatkan berat badan mereka. Mudah-mudahan usaha saya ini akan berjaya.

SemogaAllah permudahkan urusan saya ini... aamiin...

Dec 20, 2010

Memulihkan Kembali Pengurusan Kandang

Assalamualaikum wm wbkh!
Sudah lama saya tidak mengisi blog ini dengan informasi teknikal berkaitan dengan penternakan kambing. Kesibukan menghadiri kursus bersiri ibadat haji pada setiap sabtu sejak awal tahun sehingga bulan Julai 2010, serta menghadiri program-program lain berkaitan ibadat haji membataskan masa saya untuk menguruskan ladang kambing. Waktu hujung minggu yang terluang pula perlu dihabiskan dirumah untuk menerima kunjungan tetamu/pelanggan showroom arowana. Keadaan kambing peliharaan pula nampaknya semakin merosot... banyak yang kelihatan semakin kurus.

Kami cuba memberikan ubat cacing yang biasa kami berikan secara berkala seperti "Cidectin Pour-on" dan NILZAN, tetapi kali ini ia tidak membuahkan hasil yang kami harapkan, tidak sebagaimana biasa. Saya fikir, cacing-cacing tersebut sudah mula mendapat imunisasi dari ubat-ubat ini. Cabaran kini adalah mencari ubat cacing baru yang belum pernah diberikan kepada kambing-kambing saya, jadi cacing-cacing yang ada di dalam badan mereka belum membina ketahanan diri terhadap ubat ini.

Pada Oktober lepas, beberapa minggu sebelum saya bertolak ke Tanah Suci, kami mencuba sejenis ubat cacing baru. Saya berharap setelah kembali dari menunaikan fardhu haji nanti, iaitu selepas sebulan setengah, saya akan dapat melihat hasilnya.

Pada Sabtu 11 December baru-baru ini, saya berpeluang membuat kunjungan pertama ke kandang setelah kembali dari menunaikan fardhu haji. Alhamdulillah.... sebagaimana yang saya harapkan, sebahagian besar kambing-kambing saya, terutama anak-anak, menunjukkan perubahan positif yang ketara.

Semangat untuk kembali memulihkan bisnes ladang kambing mula membara semula. Perusahaan yang selama ini memakan belanja bulanan yang agak tinggi, tetapi membuahkan hasil yang tak seberapa akibat kurangnya tumpuan, nampaknya masih ada harapan untuk dipulihkan.

Cabaran seterusnya bagi saya adalah untuk mengurangkan kos operasi. Saya mula mencari alternatif kepada palet yang memakan belanja terlalu besar setiap bulan. Bermula Selasa 14 Disember lepas, saya mula memberikan hampas soya, di samping mengurangkan pemberian palet.  Hampas soya ini terpaksa kami proses terlebih dahulu, dimasak untuk mengeringkan airnya supaya kambing tidak mengalami ceret beret, serta dicampurkan beberapa bahan lain.

Seterusnya Jumaat 17 Disember lepas, kami mula memberikan jerami padi. Ini adalah perancangan jangka panjang kami untuk mengurangkan pemberian rumput hijau, bertujuan mengurangkan kos. Meskipun rumput boleh didapati secara percuma di kawasan hulu langat ini, tetapi kos untuk mendapatkannya adalah agak tinggi kerana terpaksa menggunakan tenaga buruh tambahan serta kos petrol dan penyelenggaraan motosikal.

Saya berazam untuk membuat beberapa perubahan lagi dari semasa ke semasa agar perusahaan ladang kambing ini akhirnya memberikan pulangan yang berbaloi!!!

Semoga Allah mempermudahkan urusan ini, InsyaAllah...

Allahumma yassir li fil 'umuuri kullihaa wa ahsin 'aaqibatahaa.....
 Aamiin.............

Dec 17, 2010

Perubahan Nama Domain Untuk Blog Jom TernakKambing

Assalamualaikum wm wbkh!

Untuk makluman pengunjung semua, blog ini yang sebelum ini menggunakan nama domain JomTernakKambing.Com kini akan menggunakan domain blogspot.com.

Alamat blog ini kini adalah seperti berikut:

http://JomTernakKambing.blogspot.com

Harap maklum.
Sekian, terima kasih.

Assalamualaikum wm wbkh!

Aug 11, 2010

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum wm wbkh!
Sempena kedatangan bulan ramadhan yang penuh berkah ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua. Sama-samalah kita hidupkan bulan yang mulia ini dengan  berpuasa di siang hari, bersolat tarawih pada waktu malam, serta qiam pada tengah malam. Juga sesama kita menambahkan lain-lain ibadah seperti membaca kitab AlQuran dan bersedekah di bulan yang mulia ini.

Semoga kita semua diberi hidayah dan kekuatan oleh Allah  untuk beribadah dan dimasukkannya ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.... amiiin...

Mar 7, 2010

Serangan Kurap

Assalamualaikum wm wkh!
Petang tadi, saya dan isteri berkesempatan melawat ladang kami lagi sekali. Akhir-akhir ini saya agak sibuk dengan urusan bisnes arowana dan hanya berkesempatan melawat ladang sekali dalam seminggu.

Agak terkejut bila melihat salah seekor pejantan Boer yang masih muda kelihatan murung. Menurut pekerja saya, kambing ini terkena serangan ulat di bahagian kepala, akibat luka kesan dari pergaduhan sesama kaum dengan rakan sepetaknya. Beliau telah pun memberikan rawatan semburan Prosanex ke atas luka tersebut.

Setelah memeriksa dengan teliti, saya mendapati kambing tersebut juga terkena serangan kurap. Terdapat kesan-kesan bulu tanggal dari kulit di beberapa bahagian badannya. Tanpa membuang masa, saya terus mengambil  Cidectin, iaitu cecair sapuan 3 serangkai untuk merawat kutu, kurap dan cacing. Di samping merawat kambing tersebut, saya juga merawat seekor lagi pejantan muda yang berada di dalam petak yang sama, kerana kurap ini berkemungkinan akan merebak ke kambing lain yang berada di dalam petak yang sama.

Dalam masa yang sama, saya juga memeriksa seekor induk koplo yang telah saya rawat dari serangan kurap dengan sapuan Cidectin 2 minggu yang lalu. Kelihatan terdapat perkembangan positif pada induk ini walaupun masih belum pulih sepenuhnya. Saya akan terus memantau perkembangannya dalam lawatan saya yang akan datang.

Feb 14, 2010

Menjengok Ladang Kambing

Assalamualaikum wm wbkh pengunjung semua...
Setelah kesibukan sejak akhir-akhir ini dengan  projek ikan kelisa saya, ditambah pula dengan keadaan kesihatan saya yang kurang baik, sudah kira-kira 2 minggu saya tidak menjengok ladang kambing saya. Semalam, 13 Febuari 2010, saya ditemani isteri dan anak sulung saya menjengok ladang kami. Alhamdulillah... semuanya dalam keadaan baik dan terurus rapi.

Dalam tempoh 2 minggu ketidakhadiran saya di ladang, kami dikurniakan dengan 8 ekor lagi anak-anak kambing yang baru lahir...Alhamdulillah.... memang sejak Disember lalu, kami tidak putus-putus mendapat cahaya mata baru.

Tenang dan girang rasanya melihat keadaan ladang yang terurus rapi walaupun saya tidak berkesempatan membuat penyeliaan. Demikian juga komen isteri dan anak saya yang turut bersama. Kambing-kambing dan anak-anak pun semuanya nampak sihat-sihat sahaja...Alhamdulillah...

Jan 31, 2010

MUSIM KELAHIRAN PENGHUNI BARU.... JUMLAH TERKINI 33 EKOR

Assalamualaikum wm wbkh kpd semua pengunjung...
sudah agak lama saya tidak membuat sebarang posting dalam blog ini. Sebenarnya saya agak sibuk dalam sebulan dua ni dengan projek penternakan terbaru saya. Memandangkan operasi ladang kami kini sudah agak stabil, saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya mencuba suatu bidang baru....  iaitu penternakan ikan hiasan arowana. Saya merasakan bidang ini sangat perlu saya ceburi demi untuk mendapat pulangan kewangan yang lebih cepat. Ini memandangkan projek penternakan kambing merupakan projek jangka panjang dan memakan masa yang agak lama untuk memperolehi pulangan yang 'significant'. Untuk meninjau aktiviti penternakan ikan kelisa @ arowana saya, sila klik link di bawah:
http://arowana-assakinah.blogspot.com/

Dalam beberapa hari ini, kami di Assakinah Agro Farm asyik menerima kelahiran penghuni baru di kandang kami...Alhamdulillah.... 2 hari lalu kami mendapat 3 ekor anak kambing, manakala hari ini pula kami mendapat 3 ekor lagi, iaitu dari 2 ekor induk, di mana salah satunya beranak kembar. Jumlah anak kambing yang lahir sejak Disember 2009 hingga hari ini kini berjumlah 33 ekor.

Selain itu, kumpulan anak-anak kambing yang sudah berusia di antara 2 hingga 3 bulan pula kesemuanya kelihatan sihat walafiat.... Alhamdulillah. Kunjungan saya ke ladang pagi tadi sungguh menyeronokkan.... tenang rasanya melihat gelagat anak-anak kambing .... melompat-lompat dan mencuri-curi keluar dari kandang... dan mula belajar meragut rumput.

Jan 3, 2010

Berita Menggembirakan Di Penghujung 2009 ...dan Awal 2010

Assalamualaikum wm wbkh kepada semua pengunjung ...

myspace comments

Di penghujung 2009, kami menyaksikan beberapa kes kematian induk dan anak di ladang kami.. di mana kebanyakannya adalah akibat kecuaian dan kelalaian kami sendiri. Di samping kes-kes yang menyedihkan itu, penghujung 2009 juga sebenarnya merupakan bulan yang sangat menggembirakan bagi kami di Assakinah Agro Farm. Bermula awal Disember, kumpulan induk yang sedang bunting akhir mula menceriakan ladang kami dengan dengan kumpulan penghuni baru... anak-anak kambing hasil keluaran ladang kami.....Alhamdulillah.
layouts myspace

Di sepanjang bulan Disember 2009, ladang kami menerima kedatangan anak-anak baru sebanyak 14 ekor (3 ekor darinya mati), manakala 2 ekor lagi lahir di hari pertama 2010, seterusnya diikuti oleh 5 ekor lagi pada hari semalam, 2 januari 2010. Terdapat berpuluh-puluh ekor lagi induk yang sedang bunting akhir dan kami menjangka akan terus menerima kehadiran  cahaya mata baru di sepanjang bulan Januari dan Febuari ini....InsyaAllah.

Di samping itu, induk-induk yang telah habis pantang dan telah diceraikan dari anak-anak pula, telah dan sedang menempoh proses mengawan, juga bermula Disember 2009 hingga kini.
myspace backgrounds images

Kami berazam untuk meningkatkan pengurusan ladang kami agar dapat mengurangkan kadar kematian serta meningkatkan  kadar tumbesaran anak-anak ini, sekaligus meningkatkan kualitinya...

Laa haula..walaa quwwata illaa biLLaah...

Jan 2, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010

Kami di AsSakinah Agro farm ingin menggucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada kepada semua pengunjung blog ini serta semua rakan penternak di seluruh pelusuk negara.

Tahun 2009 merupakan tahun yang agak malap bagi dunia penternakan kambing .... ramai rakan penternak akhirnya terpaksa menutup operasi kandang serta menjual stok ternakan mereka, akibat tidak dapat bertahan dengan kos operasi yang tinggi sedangkan pulangannya terlalu lambat untuk diperolehi. Kebanyakan penternak yang terlibat, memulakan projek penternakan mereka tanpa persiapan yang mencukupi. Banyak yang jadi pak turut serta termakan dengan kata-kata manis dari orang lain. Di samping itu, ramai pengendali kursus ternakan kambing yang tidak bertanggungjawab, yang membesar-besarkan prospek pulangan yang bakal diperolehi dari pelaburan dalam bidang ini, dan dalam masa yang sama menyembunyikan fakta sebenar tentang masaalah dan cabaran dalam bidang ini. Projek penternakan kambing merupakan pelaburan jangka panjang dan memerlukan suntikan modal berterusan selama beberapa tahun awal, sebelum pulangan dapat dikecapi.

Semoga rakan-rakan penternak yang masih tinggal, akan terus bersabar dan bertahan....carilah jalan untuk mengurangkan kos operasi ladang, berusahalah untuk menambah pendapatan dari pelbagai sumber lain sementara menunggu pulangan dari pelaburan dari ladang kambing ini. 

Semoga tahun baru 2010 ini akan membawa sinar keceriaan dan membuahkan kejayaan kepada dunia penternakan kambing di negara kita.